Monday, December 27, 2010

TOP 5 FILEM/ DRAMA TV TERBAIK (PILIHAN SAYA) 2010

Salam untuk semua,

Sebelum menutup tirai 2010 pada kali ini, di bawah adalah filem/ drama TV yang menjadi kesukaan saya pada tahun 2010. Ini adalah pandangan peribadi saya (tanpa rujukan mendalam dari mana-mana bahan). Diulas/ dicatat seringkas dan sejujur yang mungkin. Satu Malaysia patut berterima kasih pada Astro, TV3, NTV7 dan RTM, yang terus melambak-lambakkan lagi drama-drama TV dari U.S., U.K. dan Barat hari demi hari..;-) Kronologi adalah mengikut ranking (pilihan saya) dari nombor satu hingga seterusnya. Terimalah:-


JUSTIFIED

(1)

Raylan Givens itulah watak/ karekter yang amat menarik perhatian saya sebagai seorang U.S Marshal. Filem/ rancangan ini mengekalkan identiti cowboy/ western dalam bentuk kontemporari atau pada abad ini. Banyak shot-shot dalam filem ini mengingatkan saya tentang filem-filem cowboy yang terdahulu seperti “High Noon”, “High Chaparal”, “The Outlaws”, “Good, Bad & The Ugly” dan sebagainya yang berkaitan (termasuk musik), termasuklah penonjolan ‘Mexican Standoff’ dan ‘Gun Draw’. Berbalik pada watak Raylan Givens (lakonan Timothy Olympant) mengingatkan saya pada karekter-karekter yang sering dilakonkan oleh Clint Eastwood sebagai seorang cowboy contohnya dalam filem “Unforgiven” sebagai Will, Josey Wales dalam “The Outlaws”. Saya amat berpuas hati dengan drama Justified ini, sekurang-kurangnya film-maker Amerika (Western) masih mengekalkan tradisi Western ini dalam situasi dunia moden sekarang. Bagi saya identiti Amerika (U.S.A) adalah Western sesuai dengan cara penaklukan tanah (conquest), ‘way of a gun’ dan penegak keadilan. Berkaitnya watak yang dimainkan oleh Olymphant sebagai Marshal Raylan Givens adalah imejan ‘pretty boy’ yang menyerupai Eastwood, walaupun senyuman manis tapi jauh dalam lubuk hati pembawa karekter mempunyai unsur-unsur dendam yang tak habis (typical untuk drama-dama Western). Pengkritik-pengkritik menyatakan watak ini sebagai ‘complicated’/ ‘complexity’, tetapi sebagai Melayu saya meletakkan Givens sebagai ‘jangan disangka air yang tenang tidak ada buaya’, jelas ‘eye for an eye’ masih menjadi dendam seorang yang tenang dalam men-justify-kan keadilan di hujung pistol, cuma bezanya dahulu mungkin Eastwood akan menggunakan Colt Revolver tetapi Olymphant menggunakan Glock 17. Syabas, yeehaa!!.

CSI MAIMI

(2)

Selama dua tahun saya mengagumi Horatio Cane (lakonan David Caruso) sebelum Raylan Givens lebih mempersonakan saya, maaf Cane anda telah jatuh ke tangga yang kedua. Sungguh pun begitu, saya telah mengikuti perkembangan drama ini semenjak season 2. Antara yang menarik perhatian saya adalah semasa Horatio berjumpa semula dengan anak dan isterinya. Ini adalah siri yang paling menyentuh jiwa saya. Seperti biasa Horatio akan tampak tenang walau jiwanya bergelora semasa anaknya masuk penjara dan cuba membebaskan isterinya (Julia) dan anaknya (Kyle) dari cengkaman/ ugutan drug cartel. Saya meletakkan watak Horatio sebagai ‘hyper-sentitive’ tetapi menyimpan segala rasa (dendam etc.) dalam hati (jelasnya kita nampak walau tidak di tonjolkan secara berlebihan) dan ‘idiosyncratic’ (mempercayai diri sendiri/ gerak hati dan berdikari). Malahan karekter Horatio lebih baik jika dibandingkan dengan watak Jack Bauer dalam “24”. Penyelesaian masalah dalam setiap kes dalam filem/ drama ini diselesaikan dengan tenang dan genius oleh Horatio. Seperti selalunya, ‘hero-hero’ filem barat ini mahir dengan senjata mereka seolah seperti sebuah perlambangan yang lebih intimate selain dari dikelilingi musuh, masih ramai wanita-wanita cantik ingin mendampingi mereka. They are good with their ‘guns’! selain menjadi seorang marksman yang handal…;-). Saya akan terus mengikuti perkembangan CSI Maimi. Berbeza dengan CSI New York dan CSI (L.A.), outlook pada CSI Maimi lebih menarik dari segi kualiti visual, colour, texture dan termasuklah semasa golden hour-nya dan komposisi yang ‘tidak meraban’ seperti “Life on Mars” (satu filem/ drama yang cukup pretentious gaban)…;-)

NIP TUCK

(3)

Kalau diberi pilihan sama ada Sean McNamara (lakonan Dylan Walsh) atau Christian Troy (lakonan Julian MacMahon), saya akan memilih Dr Christian Troy. Dua orang plastic surgeon ini memang memburu kejayaan dalam bidang ini. Malahan pada season yang terbaru ini lebih melampau apabila kedua-duanya berpindah dari Maimi ke Hollywood untuk terus mengejar cita-cita. Sean bukan sahaja berjaya menjadi seorang doktor yang terkenal, malah menjadi celebrity/ pelakon di Hollywood. Tamak akan fame, Troy menganggap Sean telah double-cross dan berasa sedikit tercabar atas populariti Sean. Walaupun kedua-duanya bersahabat baik (tetapi bukan gay) malah mempunyai syarikat/ klinik pembedahan plastik bersama sebagai rakan kongsi, Christian menyimpan dendam yang amat kuat terhadap Sean. Pada saya, filem/ drama ini sebenarnya bukan sangat berbicara atau mengupas persoalan kecantikan seseorang dari segi rupa paras tetapi lebih kepada unsur-unsur kepercayaan (spiritual) terhadap agama, keyakinan diri, semangat kekeluargaan dan persahabatan. Salah satu dialog trademark dalam filem/ drama ini adalah “What you don’t like about yourself?”. Bagi saya iu adalah persoalan yang melihat dari dalam diri individu, bersyukur atau tidak, atau kita mampu mengubah diri kita (secara fizikal), tidak ubah seperti persoalan hakikat diri sendiri. Berbalik kepada gaya lakonan Julian (Troy), dendam kesumat dan konflik dari dalam jiwa seorang yang tidak mahu terikat dengan ikatan rumah tangga adalah tidak betul kerana sebenarnya dia lebih cemburu melihat Dr Sean mempunyai keluarga. Cuma semenjak season yang terbaru setelah Sean bercerai dengan Julia (bekas isteri Sean), beliau lebih nampak menjadi ‘bebas’ semula, manakala Christian pula makin menampakkan kematangan. Christian sedang melalui proses ‘inferiority complex’ yang semakin menebal (makin celaru dengan hidupnya) dan anda perlu menonton drama ini untuk melihat perubahan yang berlaku terhadap Christian, sedangkan Sean semakin menjadi seperti seorang ‘keanak-anakan’. Well, “What you don’t like about yourself?”..;-)


MIDSOMER MURDERS

(4)

Melihat filem/ drama yang lebih satu jam setiap episod ini adalah seperti membaca sebuah novel. Anda harus mengikuti dari awal untuk meleraikan sebuah masalah/ kes dalam filem ini. Mungkin bagi sesetengah pihak akan menganggap drama ini boring kerana dipenuhi dengan dialog-dialog yang panjang lebar, tetapi saya suka drama ini kerana dalam pada masa yang sama, saya membuat beberapa penilaian atau ‘inference’ saya sendiri sebelum kes terbongkar. Jika ‘mengena’ pada tanggapan saya, sudah tentu saya akan berpuashati seolah bermain sebuah game detektif. Filem/ drama dari U.K. ini tidak ada adegan meletup-letup atau tembak menembak yang extreme dan ledakan peluru pistol tidak pernah langsung dilepaskan oleh kedua-dua orang detektif dalam filem ini. Watak Chief Inspector Tom Barnaby (lakonan John Nettles) dan Sarjan Detektif Ben Jones (lakonan Jason Hughes) ini mengingatkan saya kepada ‘Sherlock Holmes & Watson’ (cipan sangat-lah kalau sesiapa yang tak tahu watak tersebut!!). Bagi saya ini tidak lebih dari meneruskan tradisi siri/ drama/ cerita penyiasatan dari British seperti “Hercule Poirot”, “Return of The Saint (Simon Templar/ lakonan Ian Ogilvy)” dan “The Avengers” (terutama sekali watak John Steed lakonan Patrick McNee) yang pernah saya tonton tanpa miss satu episod pun semasa saya kecil di sekitar tahun 1970an. Saya yakin (dan harap) filem/ drama-drama dari U.K. ini akan terus menerus mengeluarkan filem/ drama detektif yang ‘mind boggling’ kerana ada masanya saya rasa agak jemu dengan ‘swash buckling’ dari Hollywood/ U.S. Sekurang-kurangnya, dengan Midsomer Murders ini telah mengubat kerinduan saya pada ‘ala-Sherlock Holmes’ yang saya rasa amat sesuai dengan typical gentleman style penjajah British ini…;-)


CHUCK

(5)

Drama bersiri ini adalah pilihan saya yang terakhir dalam Top 5 saya. Saya terhibur dengan watak Chuck Batowski (lakonan Zachary Levi). Sekiranya pada tahun 1980an dahulu kita disajikan dengan “MacGyver”, saya rasa ini adalah alternatif kepada MacGyver dekad ini. Watak Chuck adalah simple seolah seperti guy next door kepada saya yang bekerja di kedai komputer, tetapi telah menjadi seorang perisik. Ini terjadi kerana ability beliau untuk scan apa yang telah berlaku terhadap diri seseorang dari perisian Intersect. Turut menarik perhatian saya adalah “comical”/ comedy character yang dimainkan oleh Levi sebagai Chuck. Seperti yang saya katakan, drama ini saya follow adalah untuk melihat Chuck dan apa yang telah berlaku sepanjang bergelar perisik yang paling nerd pernah saya tonton. Ini berbeza dengan kebanyakan dari siri-siri perisikan yang lain, yang banyak retorik swashbuckler-nya. Chuck adalah opposite kepada watak-watak ‘perisik macho’ yang lain. Chuck terjerumus sebagai spy adalah kerana sistem intersect telah ditanam pada dirinya. Chuck terpaksa bergelut dengan sebuah agensi spy yang lain disebut sebagai Fulcrum. Dua orang spy yang turut membantu Chuck adalah Agent Sarah Walker dan John Casey. Yang amat-amat menarik perhatian saya adalah ‘percintaan’ antara Sarah Walker dan Chuck. Seorang komputer whizard yang ‘nerd abis’ (+ gabra & keloloh) bercinta (sekurang-kurangnya menaruh hati) kepada Sarah (lakonan Yvonne Strahovski.. memang lawa gila bagi saya!) seorang yang swashbuckler di mana mengingatkan saya tentang watak yang pernah dimainkan oleh Rebecca Romjin dan Famke Janssen. Saya meminati Chuck adalah tentang ingin tahu akan kesudahan antara Chuck dan Sarah. Masih teringat semasa season pertama semasa Chuck mengajak Sarah keluar bersamanya: Chuck: “You want to go on a date with me some time? I mean a date without aliases, and spy gear, and no mission.” Sarah: “Like a real date?” Chuck: “Yeah.” Sarah: “Chuck, I'm still a CIA agent. And there are a hundred reasons why I shouldn't do that.”… dalam maknanya kalau kita nak merisik tentang seseorang (ingat, once an agent, always an agent)..;-) Dan drama ini memang sweet dan terhibur.


Saya tidak menafikan drama-drama seperti The Guardian, Desperate Housewife, Lipstick Jungle, Mystery Women dan beberapa lagi ada kehebatannya. Mungkin tahun 2011 nanti jika rancangan-rancangan itu diteruskan, saya akan menilai dan mengulas secara ringkas untuk ‘penjurian’ nanti, ini hanya TOP FIVE. Tetapi filem/ drama-drama di atas adalah pada sepanjang tahun ini, kerana biasanya saya selalu menonton rancangan-rancangan tersebut sama ada di Diva atau AXN. Terima kasih Astro.

“MARIAM ANISSA”

Salah sebuah TELEMOVIE MELAYU/ MALAYSIA yang saya minat secara tidak sengaja saya tonton pada beberapa minggu yang lepas adalah “Mariam Anissa” arahan Meor Hashim Manaf. Persoalannya cukup baik, kerana mempersoalkan tentang nasib seorang BEKAS PELACUR yang kembali ke kampung halamannya di usia tua. Walaupun terdapat banyak loop-hole atau lompang-lompang yang boleh diperbaiki, tetapi persoalannya menarik perhatian saya. Watak Mariam Anissa yang dilakonkan oleh Uji Rashid boleh dikatakan mampu membawa watak dengan berkesan dari segi penghayatan watak yang bertegas untuk terus berada di kampung tersebut walau cuba dihalau oleh orang-orang kampung kerana ‘kekotoran’ dirinya. Saya amat tertarik dengan beberapa footage yang flash-back tentang Mariam Anissa semasa kanak-kanak dan semasa muda meninggalkan kampung halaman. Salah satu yang turut menarik perhatian saya adalah, rambut Mariam Anissa mula berguguran atas dasar penyakitnya. Ini adalah representasi ‘mahkota wanita’ dan secara tidak langsung (indirect) turut memberi penekanan kenapa wanita seharusnya bertudung. Kalau tak silap saya, telefilem itu ditayangkan di Astro Prima atau Astro Oasis.

Wassalam.

p/s: saya juga meminati filem-filem/ drama-drama tempatan tetapi bukan yang mempunyai unsur-unsur ‘saudagar mimpi’ pretentious gaban yang konon-nya bermotivasi..;-)

p/s: saya lebih menilai watak, kerana lakonan itu paling penting samada di pentas atau skrin.